Monday, April 23, 2012

Hormati hak OKU di Sipitang

Oleh : Admin WS
Sipitang...- Cuba anda saksikan gambar-gambar di bawah ini. Jika anda dapat dengan serta-merta  mengecam berlakunya sesuatu yang tidak kena dalam gambar berkenaan, ertinya anda telah faham dan mengerti akan tujuan dan maksud papan tanda kuning yang terpapar lukisan kerusi roda ini. Jika tidak mungkin anda juga adalah salah seorang pemandu yang secara tidak sengaja pernah  meletakkan kenderaan anda di kawasan ini.

22 April 2012 11.30 a.m

       Saya percaya kemungkinan besar perbuatan para pemandu yang sempat saya rakamkan di hadapan Bestamart Sipitang ini tidak tahu akan maksud papan tanda ini memandangkan ia merupakan suatu perkara yang baru di Pekan Sipitang. Ataupun mungkin juga ada diantara mereka yang tahu, tapi bersikap tidak kisah. Biar saya terangkan maksud papan tanda ini.

22 April 2012 , 11.33 a.m

     Papan tanda ini membawa maksud bahawa ia adalah kawasan parkir (letak kereta) yang dikhaskan kepada orang cacat (OKU).Adalah menjadi satu kesalahan bagi orang bukan OKU meletakkan kenderaan di kawasan ini. Saman boleh dikeluarkan oleh pihak berkuasa atas kesalahan ini.

 22 April, 11.34 a.m



22 April 2012, 11.43 a.m


     Lagipun sebagai insan yang diberikan oleh Tuhan dengan "penuh keupayaan", marilah kita sama-sama menghormati hak Orang Kurang Upaya (OKU). Saya berkata demikian kerana sepanjang pemerhatian saya selama lebih  20 minit di tempat letak kereta ini, tiada seorangpun Orang kurang upaya yang menjadi pemandu atau penumpang kenderaan yang di letakkan di kawasan ini. 


Friday, April 20, 2012

SAMUR : Ada orang Sindumin dah jadi jutawan?

Oleh : Admin WS
Sipitang..- Siapa sangka kawasan hutan  yang dahulunya hanyalah kawasan paya dan berpasir kini menjadi sumber kekayaan baru bagi pemilik tanah terbabit. Kalau dahulu, kawasan berkenaan hanyalah tempat untuk mencari buah jambu kerasik, buah sungkit, memasang bubu ikan keli serta tempat mencari lambiding. Namun kini segala-galanya sudah berubah apabila PETRONAS telah memilih kawasan berkenaan iaitu kawasan berhampiran Kampung Banting dan Kuala Mengalong sebagai tapak kilang baja urea (SAMUR)  yang terbesar di Malaysia dan kedua terbesat di Asia tenggara dengan jumlah pelaburan RM4.77 billion ringgit.

      Dikhabarkan seorang penduduk dari Sindumin telah mendapat habuan RM1.2 juta hasil jualan tanahnya. Manakala seorang lagi pemilik tanah turut memberitahu Warta Sipitang (WS) bahawa tanah yang dahulunya dibeli dengan hanya RM4 ribu (4 ekar) kini diberi tawaran dengan harga RM400 ribu ringgit. Malah seorang pemilik tanah yang lain, turut menyatakan bahawa tanahnya juga ditawarkan dengan harga RM60 ribu seekar.
     Dalam pada itu terdapat juga bekas pemilik tanah berhampiran kawasan terbabit yang melahirkan rasa kesal kerana menjual tanahnya lebih awal. Salah seorang pemilik tanah berkenaan telah menjual tanahnya dengan harga RM16 ribu seekar beberapa tahun lalu kerana merasakan harga yang ditawarkan pada ketika itu sudah cukup tinggi.
     Nasihat WS, dalam keghairahan menerima tawaran dari pembeli , pemilik tanah haruslah lebih berhati-hati dalam berurus niaga tanah mereka agar tiada sesalan di kemudian hari. Sememangnya ramai manusia di dunia ini yang mempunyai sifat jujur dan amanah, berbanding dengan mereka yang suka menipu dan ambil kesempatan. Tetapi yang sedikit inilah yang kita perlu berhati-hati kerana yang sedikit boleh merosakkan yang banyak.

Tuesday, April 17, 2012

Jambatan Ulu Bole Dihanyutkan Air


Oleh : Admin Warta Sipitang.

SIPITANG...- 17 April 2012 - Jambatan kenderaan yang merentangi Sungai Ulu Bole musnah sama sekali akibat arus deras yang melanda sungai berkenaan awal pagi tadi. Jambatan ini merupakan satu-satunya laluan kenderaan menuju Kampung Ulu Bole dan ke Sekolah Kebangsaan Ulu Bole. Kejadian ini melumpukan sama sekali urusan harian penduduk khususnya mereka yang hendak berurusan ke Pekan Sipitang.

Lenyap sama sekali....

      Guru Besar SK Ulu Bole, Samrah Ag Damit,  ketika mengesahkan kejadian ini menyatakan bahawa beliau telah menghubungi ADUN Sindumin Tuan Haji Ahmad Hj Bujang pada pukul 9.12 a.m. untuk memaklumkan kejadian ini .

Sebelum hanyut... (3 Januari 2011)






Sunday, April 15, 2012

"Tergamak" kah anda menyembelih ayam ini...?

Oleh : Admin WS.

      Mungkin inilah ayam yang paling sesuai dipanggil sebagai ayam togel. Menurut pemiliknya, Tuan Hj Harris Jaafar ( Kg Banting Sindumin ), ayam ini memang tiada bulu sejak kecil lagi. Istimewanya walaupun ayam ini tiada bulu, namun ia sentiasa kelihatan sihat dan aktif.
      Bagaimana.., tergamak kah anda menyembelih ayam ini untuk dibuat lauk dan berselera kah anda memakannya...? . Mungkin kah memang ada spesis ayam yang tiada bulu kerana hendak dikatakan ayam ini sakit, tak pula nampak macam ia sakit.  Persoalan yang remeh tetapi memerlukan jawapan yang saintifik...

                                                                       Ayam Togel


Ayam Togel bersama "kawannya" yang ada bulu

Friday, April 13, 2012

Sungai Mengalong Syurga Kaki Pancing Udang Galah

Oleh : Admin WS

Sungai Mangalong yang terletak di Sindumin Sipitang merupakan syurga bagi kaki pancing khususnya “pemburu” Udang Galah kerana sungai ini masih kaya dengan spesis Udang Galah bersaiz besar. Udang Galah Sungai Mangalong juga dikatakan lebih memberikan cabaran kepada kaki pancing kerana ia agak ganas dan memberikan cabaran yang lebih kepada si pemancing semasa pertarungan menaikkannya ke permukaan air.
Sepit Kuning dan Sepit Biru
Terdapat dua jenis udang galah yang boleh didapati di Sungai Mangalong. Udang Galah bersepit biru tua merupakan spesis yang mempunyai saiz yang lebih besar. Manakala Udang Galah yang mempunyai sepit kekuning-kuningan bersaiz lebih kecil.
Satu lagi kelebihan Udang Galah Sungai Mangalong ialah kerana rasanya yang “manis” apabila dimasak dan kenyal dikunyah. Berbeza dengan sesetengah tempat, dimana terdapat udang galahnya yang isinya hancur apabila dimasak dan rasanya agak tawar.
Bagi kaki pancing pula mereka mempuyai pandangan sendiri tentang udang galah. Kebanyakkan mereka lebih mengemari udang galah yang mempunyai sepit kekuning-kuningan atau “Udang Galah Badal” (dalam bahasa tempatan ) kerana ia lebih agresif.
Manakala Udang Galah bersepit biru tua atau “Nangalah Basauh” dalam bahasa tempatan dikatakan tidak berapa melawan semasa ditarik sebaliknya hanya mendiamkan diri. Udang jenis ini hanya akan menunjukkan aksi apabila hampir ke permukaan air.
Percaya atau tidak, kaki pancing sejati boleh lupa kepada makan dan minum serta tidak hirau panas serta hujan gara-gara menikmati keseronokan memancing. Malah masa berlalu seolah-olah tidak terasa apabila pancing yang dipasang tidak henti-henti dihenjut dan di sentap“mangsa”. Paling seronok ialah apabila memancing bersama rakan dalam kedudukkan yang tidak jauh diantara satu sama lain. Persaingan yang dirasakan membuatkan setiap orang ingin mendahului dari segi jumlah tangkapan.

Sudah menjadi lumrah bagi kaki pancing di sini dimana, hanya tangkapan Udang Galah sahaja yang biasanyanya menjadi kebangaan dan sebutan. Manakala bagi spesis lain seperti Belida atau Baung seakan tidak dihiraukan oleh pemancing. Malah terdapat pemancing yang melepaskan kembali ikan berkenaan ke Sungai sebaik ia berjaya dinaikkan. 
belida
 Lokasi memancing yang sering menjadi tumpuan kaki pancing di Sugai Mangalong ialah di sekitar Kampung Luagan, Sindumin Baru, Patarikan, dan Kampung Banting. Walaumacamanapun tidak semua tempat sepanjang sungai berkenaan sesuai untuk memancing Udang Galah. Hanya kaki pancing yang sudah biasa berkunjung ke tempat ini tahu lubuk sebenar Udang Galah di kawasan ini kerana Sungai Mangalong mempunyai tebing yang sangat panjang.
Bagi yang pemancing yang tidak menggunakan bot, ia tidak lagi menjadi masaalah yang besar kerana perjalanan menuju ke lokasi memancing melalui daratan kini semakin mudah dengan wujudanya rangkaian jalan beraspal menghubungkan Pekan Sindumin hinggalah ke Kuala Mangalong. Diantara Lubuk atau Lokasi yang sering menjadi tumpuan kaki pancing ialah Lubuk Si Kapung, Lubuk Besar Patarikan, Kawasan kebun Si Atong, tebing sepanjang jalan Siputol menuju Kampung Banting dan Kawasan tebingan sungai perkuburan orang Islam Kampung Banting.
 Manakala terdapat satu lagi kawasan yang agak jauh sedikit , iaitu kawasan kebun Kelapa sawit sebelum sampai ke Kampung Kuala Mangalong. Walaumacamanapun untuk sampai ke kawasan ini pemancing terpaksa berjalan kaki kerana tidak terdapat jalanraya.

Namun bagi kaki pancing jauh atau dekat, susah atau payah untuk sampai ke suatu lokasi memancing tidak jadi persoalan utama kerana yang penting adalah kepuasan dalam memperolehi tangkapan yang dinginkan.





     

    

Thursday, April 12, 2012

Pemancing Sindumin Tawan Muara Sungai Berabak

OLEH : Admin WS

        Muara Sungai Berabak yang terletak tidak jauh dari Pekan menumbok merupakan stau destinasi memancing yang menyimpan pelbagai sepsis ikan yang sememangnya menjadi kegemaran para kaki pancing.
      Diantara ikan yang sering menjadi kegilaan kaki pancing di Berabak ialah, Kerapu, Ikan Putih, Ikan Merah, Siakap. Pari , dan Gelama. Menurut cerita si kaki pancing, setiap pemancing yang datang ke Berabak pasti tidak akan pulang dengan tangan kosong jika tiada aral yang melintang.

       Sekumpulan pemancing dari Sindumin yang biasaya hanya bertarung dengan Udang Galah telah mencuba nasib di Berabak. Misi mereka adalah untuk menawan ikan di sungai tersebut. Kaki-kaki pancing ini terdiri daripada Moktal Hj Julai, Mazlan Hashim, Rano Panus, Bakri Baking, Hazmie Manan, Syarafi Kasah dan Kasah Yaakob ( tekong bot ).
      Kumpulan pemancing yang diketuai oleh Hazmie Manan ini memulakan perjalanan dari Pengakalan Bot Kampung Pelakat Sipitang pada kira-kira pukul 5.30 pagi. Walaupun perjalanan untuk sampai ke destinasi hanya memakan masa kira-kira 50 minit, tetapi kumpulan pemancing terpaksa bertolak lebih awal untuk mendapatkan umpan terlebih dahulu.
     Menurut Hazmie, sebaik tiba di Muara Sungai Berabak mereka terus mendapatkan udang untuk dijadikan umpan dengan cara menggunakan pukat. Walaupun cuaca pada ketika itu kurang baik dengan keadaan laut yang agak bergelora.
     Situasi ini agak mengecewakan mereka, namun hasrat memancing mesti diteruskan. Menurut tekong bot, Kasah Yaakob pada kebiasaanya ikan lebih aktif memakan umpan dan senang untuk dijinakkan dalam keadaan air laut yang tenang.

     Setelah berlegar-legar seketika di Muara Sungai Berabak, misi memancing pun dimulakan dengan masing-masing sibuk mengenakan umpan dan melabuhkan kail. Setiap pemancing begitu bersemangat untuk memastikan diri mereka menjadi  orang pertama menaikkan ikan.
     Selang 15 minit berlalu, tiba-tiba tali pancing kepunyaan Mazlan atau lebih dikenali dengan gelaran “Si Lahing” disentap dengan kuat membuatkan jorannya melentur. Tumpuan kaki pancing yang lain terus terarah kepada Lahing yang sedang bertarung dengan “mangsa” pertama.
     Setelah kira-kira 2 minit bertarung, akhirnya Ikan Merah yang beratnya lebih 1 Kilogram berjaya ditewaskan.  Kejayaan Lahing menaikkan ikan Putih ini membuatkan rakan yang lain lebih bersemangat untuk memberikan saingan.
     Namun yang paling penting bagi kaki-kaki pancing yang memancing secara berkumpulan ini ialah mereka tidak mendapat gelaran “Kilar” . Sesiapa yang “Kilar” pasti akan menjadi bahan cerita dan akan diketawakan oleh rakan-rakan pemancing yang lain.
     Kilar dalam bahasa tempatan membawa maksud tidak memperolehi apa-apa tangkapan walau sekecil manapun.

     Tidak berapa lama selepas Lahing berjaya menewaskan ikan Merah, keadaan semakin rancak dimana satu demi satu tali pancing disentap oleh sang ikan yang mungkin ingin menguji kehandalan kumpulan pemancing dari Sindumin ini.
     Kesudahnnya kesemua kaki pancing memperolehi tangkapan masing-masing, walaupun tidak seperti yang diharapkan kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan kerana air laut bergelora.
     Diantara spesis ikan yang berjaya ditewaskan ialah Ikan Putih, Ikan Merah, Kerapu, Sembilang dan beberapa jenis ika lain yang bersaiz lebih kecil. Hasrat kaki pancing untuk bertarung dengan ikan yang lebih ganas seperti Pari tidak kesampaian untuk misi kali ini.
    Menurut Hazmie, walaupun misi kali ini sedikit mengecewakan , mereka pasti  akan datang lagi untuk memburu lebih banyak ikan yang masih menghuni Muara Sugai Berabak pada masa yang sesuai.




    






  

Sunday, April 8, 2012

Menjejaki Lelaki Misteri Di Pekan Sipitang


OLEH :  Admin WS
     Persoalan demi persoalan sering bermain di minda fikir warga Sipitang mengenai kewujudan seorang lelaki yang dianggap misteri kerana tidak diketahui asal-usulnya tapi saban hari kelihatan muncul dan berlegar-legar di pekan ini.   
Lelaki misteri....
     Setelah sekian lama  saya memerhati , mengekori, mengamati dan seterusnya mencari fakta , akhirnya persoalan yang bermain di minda fikir saya sedikit terurai megenai kewujudan “lelaki misteri” ini.
     Perkara yang mungkin mejadi tanda tanya terhadap kewujudan lelaki ini ialah dari segi tingkah laku dan perwatakannya. Lelaki ini di lihat sering berjalan kaki dengan membawa bungkusan, bersembahyang dan berdoa di tepi pantai serta mandi di tepi laut berhampiran pekan Sipitang.
Barang-barang terbuang yang diperolehi dari tong sampah
     Bukan mencari salah dan silapnya tetapi sekadar ingin mendekati lelaki ini yang juga makhluk tuhan yang mana nasib dirinya telah tersurat sepertimana yang sering kita lihat dengan mata kasar kita yang kekadang turut meruntun dan menyentuh hati kecil kita.
     Apa tidaknya , rutin harian lelaki misteri ini ialah menjelajah dari dari tong sampah ke tong sampah mencari sesuatu untuk meneruskan kehidupan menyambung denyutan nadi mengisi perut sendiri.
     Percaya atau tidak, lelaki ini telah menjalani kehidupan sehariannya sejak bertahun lamanya  dengan berjalan kaki sehingga ada tikanya melebihi kira-kira 10 kilometer dari tempat “kediamannya”, dimana lelaki ini dilihat sentiasa berpindah-randah untuk mencari perlindungandari  hujan dan panahan matahari.
"Merenung muka di cermin..."
    Namun, sejak kebelakangan ini dia telah berpindah mencari kediaman baru di suatu kawasan yang lebih dekat dengan Pekan Sipitang. Baru-baru ini saya  sempat menumpangkan lelaki ini dan menurunkannya berhampiran tempat kediaman barunya.    Kerana tidak sampai hati melihat lelaki ini berjalan kaki dalam suasana hujan yang lebat saya memberhentikan kereta di tepi jalan. Lelaki berkenaan terus meluru kearah kenderaan saya lalu terus naik di bahagian belakang “double cab” yang saya pandu.
    Ini bukan kali pertama saya mengajak dia menumpang kereta saya, itulah sebabnya dia sudah kenal dengan kereta saya.  Pada mulanya memang agak was-was juga untuk mendekati lelaki ini kerana dikatakan kurang siuman, takut lain pula jadinya. Namun setelah merisik sedikit-demi sedikit saya mula memahami akan sifat dan perangainya. Pastinya lelaki ini bukan seorang peminta sedekah kerana dia pernah menolak wang pemberian saya. Pernah juga saya bagi RM5 tetapi dia hanya ambil RM2. Katanya dia hanya perlu wang untuk beli makanan sahaja, di mana dia mengatakan dia tak perlu bayar sewa rumah, bil elektrik, dan air. Katanya lagi dia tak mahu meminta, tak suka mencuri. "Berdosa katanya...", .
Tong sampah yang menjadi sumber rezekinya
      Fakta paling menarik tentang lelaki ini ialah, dia akan bersembahyang apabila masuk waktu sembahyang. Lokasi yang paling biasa beliau bersembahyang ialah di tepi pantai pekan Sipitang. Demikian, sedikit sebanyak cerita tentang “lelaki misteri” ini…siapakah dia..? dari mana asal usulnya…? Sukar untuk mendapatkan jawapan yang sebenarnya kerana setiap kali saya bertanya mengenai asal-usulnya dia hanya memberikan jawapan demikian :  “di sini banyak hantu….dekat-dekat sini pun ada hantu…”. Jahat..! semua jahat..!.

  

Friday, April 6, 2012

Sudah Lebih Sebulan Air Paip Kotor

Oleh : Admin WS
Sumber : http://kampungluagan.blogspot.com
Kampung Luagan- Masalah air paip yang tidak bersih atau lebih tepat lagi tidak jernih, kini berulang lagi di Kampung Luagan dan kawasan berhampiran. Tidak dapat dipastikan apakah punca yang menyebabkan kejadian ini. Yang pasti sudah lebih sebulan masalah ini dihadapi penduduk. ( sejak 10 Mac 2012 sehingga hari ini -6 April 2012 ( Esok belum tahu...)
Apa dah jadi? tiada carakah untuk mengatasi masalah ini? rakyat guna air bukannya percuma, tapi kena bayar. Dah sebulan rakyat bayar air yang sama kualitinya dengan air sungai yang diambil dengan gayung . Samalah seperti 40 atau 50 tahun dahulu. Fikir2 kanlah wahai pihak bertanggung-jawab. Jangan sampai rakyat buat perhitungan yang salah pada pilihanraya yang akan datang, hanya gara-gara masalah yang sebegini. Yang menjadi mangsa kemarahan rakyat nanti adalah wakil rakyat. Sedangkan wakil rakyat dah berusaha untuk meningkatkan kualiti air di daerah ini. Tak kanlah nak suruh wakil rakyat bekerja di loji air pula.
Memang benar, pengurusan air di daerah ini adalah jauh lebih baik dari tahun sebelumnya. Tapi tiada ertinya kalau air yang dibekalkan tidak bersih sedangkan kos menaiktaraf bekalan air di Sipitang menelan belanja lebih 100 juta termasuk pembinaan loji baru dan menganti paip lama.
KOTOR...

Monday, April 2, 2012

Manusia tertua di Sipitang ?

Oleh : Admin WS
 Tahukah anda siapakah lelaki paling tua di Sipitang? Berdasarkan rekod, dipercayai bahawa Allahyarham Atap Tassim yang meninggal dunia pada usia 108 tahun merupakan  lelaki paling tua atau paling panjang umurnya setakat ini di daerah Sipitang.


      Allahyarham telah pun menghembuskan nafasnya yang terakhir di hadapan anak-    anak,   cucu, cicit, piut  dan saudara-mara terdekat di rumahnya yang terletak  di Kampung Bangsal Sipitang pada 9 Julai 2009.
       Allahyarham yang berbangsa Kedayan mempunyai  9 orang anak, 30 cucu dan ramai cicit serta piut , dimana salah seorang cicitnya kini sudah menjangkau usia 50 tahun dengan 7 orang anak. Isteri Allahyarham telah meninggal dunia pada tahun 2005.
      Menurut anaknya yang ke 8, Juhara Atap, 50 walaupun dalam kad pengenalan bapanya menunjukkan tarikh lahir bapanya ialah pada 2 Ogos 1907, namun sebenarnya bapanya lahir lebih awal daripada itu.
      “Usia bapa saya sudah menjangkau 108 tahun….,maklumat tarikh lahir pada kad pengenalan berkenaan kurang tepat kerana bapa saya sebenarnya  lahir lebih awal daripada tarikh itu  kerana kami pernah melihat dokumen lain yang menunjukkan tarikh kelahiran ayah yang sebenar”, katanya.



     Beliau berkata, ayahnya  mula mengalami kurang upaya untuk mengurusakn diri sendiri sejak empat tahun yang lalu iaitu selepas ibu mereka meninggal dunia.
     Turut mengesahkan bahawa Allahyarham Atap Tasim merupakan orang paling tua di daerah ini sehingga hayatnya pada khamis 9 Julai 2009 ialah ADUN Sindumin Tuan Hj Ahmad Hj Bujang.
     Sementara itu, menurut sumber dari AFP,  Lelaki paling tua di dunia, ialah Tomoji Tanabe yang telah meninggal dunia pada usia 113 tahun,  19 Jun 2009 . Tanabe  mempunyai lapan orang anak, 25 cucu, 53 cicit dan enam piut.
    Manakala orang paling tua di dunia sekarang ialah seorang wanita Warga Amerika Syarikat, Gertrude Baines, yang berusia 115 tahun. Beliau kini  tinggal di Los Angeles.

Bukan sekadar satu slogan, tetapi dengan perbuatan..

Oleh : Admin WS
      Bermacam-macam slogan yang dikaitkan dengan perpaduan di Negara kita telah dicipta. Namun sejauh manakah slogan tersebut telah benar-benar dihayati, difahami dan diikuti oleh rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Cuba anda perhatikan gambar ini, yang menunjukkan seorang lelaki berbangsa Murut dan beragama Kristian (berbaju hitam) turut serta menimbus liang kubur isteri kepada seorang rakan karibnya yang meninggal dunia di Labuan pada 18 Mac 2012 yang lalu. Moga perbuatan yang mulia ini akan menjadi contoh dan teladan kepada kita semua. "Al-Fatihah..", kepada Allahyarhamah Faridah Abdullah isteri kepada Abdul Latif Ag Damit. Semoga rohnya sentiasa berada disisi orang-orang yang soleh.