Sunday, March 11, 2012

Siapa Lebih Layak?

Oleh : Admin WS
<><>
SIAPA LEBIH LAYAK ...?
       Persoalan ini mengundang pelbagai persepsi tentang tafsiran "layak". Sudah tentu pengertiannya adalah bergantung kepada suatu situasi atau tujuan ungkapan tersebut dibuat. Manakala tafsiran layak itu sendiri turut didasari oleh latabelakang seseorang yang mengungkapkannya.
     Justeru dalam soal menentukan calon pilihanraya sudah tentulah tafsiran untuk menentukan "layak menjadi calon" juga  adalah berbeza. Bagi parti politik,  maksud layak untuk menjadi calon sudah semestinya ia merujuk kepada seseorang calon yang disukai, disokong dan diundi oleh para pengundi semasa pilihanraya kerana sokongan tanpa memberikan undi tidak akan memberi apa-apa makna dalam proses pilihanraya.
       Oleh yang demikian, berdasarkan "fatwa politik" ini bermakna "calon yang layak" adalah calon yang boleh menang. Namun timbul pula satu persoalan lain, iaitu bagaimanakah pula hendak memilih calon yang bukan sahaja layak untuk menjadi calon dan menang dalam pilihanraya, tetapi juga LAYAK untuk menjadi pemimpin.
       Bagi kawasan pilihanraya P178 Sipitang dan DUN N28 Sindumin, soal siapa lebih layak ini turut menjadi perbualan dan percaturan rakyat. Seperti biasa nama-nama besar seperti Datuk Hj Sapawi Hj Ahmad (Ahli Parlimen Sipitang), YB Tuan Hj Ahmad Hj Bujang ( ADUN Sindumin), dan Datuk Dr Hj Yusof Hj Yaacob (Mantan Ahli Parlimen Sipitang ) adalah antara nama yang sentiasa meniti dibibir rakyat.
       Lebih menarik lagi apabila ketiga-tiga pemimpin ini telah secara terbuka menyatakan minat masing-masing untuk bertanding. Situasi ini, mengundang pelbagai pandangan dan cadangan dari para pengundi. Ada yang kata Datuk Sapawi wajar terus bertanding di P178 Sipitang. Tidak kurang juga yang mahu beliau bertanding di DUN Sindumin. Alasannya juga pelbagai, diantaranya ialah Datuk Sapawi adalah "calon yang paling selamat" untuk bertanding dimana-mana kawasan pilihanraya, sama ada P178 atau N28 Sindumin. Pengundi yang mahukan Datuk Sapawi bertanding di DUN Sindumin sebenarnya mengharapkan sesuatu yang lebih diberikan kepada Datuk Sapawi dari hanya seorang wakil rakyat kepada seseorang yang berjawatan sekurang-kurangnya sebagai menteri penuh dalam kabinet Negeri Sabah.
       Ramai yang berkata bahawa Datuk Sapawi sepatutnya sudah menjadi menteri penuh jika beliau kekal bertanding dalam DUN Sindumin pada pilihanraya lepas. Pendapat ini mungkin merujuk kepada senioriti Datuk Sapawi dalam politik Negeri Sabah.
        Bagaimanakah pula dengan YB Hj Ahmad? jika Datuk Sapawi tanding di DUN Sindumin, beliau nak tanding dimana? Beranikah kepimpinan Barisan Nasional meletakkan YB Hj Ahmad bertanding di P178 Sipitang? Bukan mempersoalkan kewibawaan YB Hj Ahmad, tetapi menyatakan suatu yang harus difikirkan dan perlu penelitian dari pelbagai aspek. Justeru yang paling selamat ialah mungkin mengekalkan Hj Ahmad sebagai calon BN di DUN Sindumin. Lagipun Hj Ahmad baru saja sepenggal menjadi wakil rakyat. Ibaratnya kalau menanam kelapa sawit baru sampai ke tahap hendak memungut hasil. Itupun kalau tanam Kelapa Sawit. Kalau tanam durian pasti belum berbuah. Begitu juga jika sekiranya pokok getah yang ditanam, belum juga dapat memungut hasilnya.
        Justeru ramai juga berpendapat bahawa YB Hj Ahmad wajar diberi peluang kali kedua untuk membuktikan kebolehan dan kewibawaannya sebagai wakil rakyat supaya rakyat boleh menghakimi beliau secara lebih adil dan saksama. Rakyat yang berfikiran positif ingin juga melihat hasil usaha YB Hj Ahmad untuk mereka sama-sama nikmati dan rasai bersama.
       Sementara itu, Datuk Sapawi pula harus kekal di P178 Sipitang tetapi dengan "penambahbaikan", iaitu beliau wajib diberikan sekurang-kurangnya jawatan Timbalan Menteri di peringkat Persekutuan kerana beliau sudah cukup "syarat" untuk menyandang jawatan itu. Bukan sekadar untuk memberikan jawatan kepada Datuk Sapawi, tetapi juga sebagai tanda penghargaan dan terima kasih Barisan Nasional kepada rakyat yang memberikan sokongan dan undi.
         Apa cerita pula dengan Datuk Dr Yusof, tidak kah wajar beliau diberi  peluang untuk masuk gelanggang semula? Sedangkan beliau juga dikatakan sebagai calon yang paling selamat mewakili BN untuk bertanding dimana-mana kawasan, sama ada DUN Sindumin atau P178 Sipitang. Persoalan ini semakin sulit untuk dirungkaikan. Apa kurangnya dengan Dr Yusof? Kalau pun tak lebih hebat dari Datuk Sapawi dan Hj Ahmad, namun saya yakin dan percaya beliau juga tidak kurang hebatnya. Ketiga-tiga pemimpin sebenarnya mempunyai kehebatan dan karisma yang tersendiri.
          Jika dinilai dari aspek moral pula, ternyata sememangnya amat sukar juga nak cari kecacatan ketiga-tiga pemimpin ini khususnya dari soal yang menyentuh aspek keagamaan. Walaupun ada segelintir orang yang cuba memburuk-burukkan ketiga-tiga pemimpin ini, tetapi saya berpegang kepada prinsip Agama Islam iaitu tuduhan tanpa bukti yang sahih dan saksi adalah suatu fitnah yang wajib dielakkan kerana Allah amat membenci akan manusia yang suka menabur fitnah.
         Justeru dalam penulisan ini dan penulisan seterusnya saya akan cuba seboleh-bolehnya untuk mengelakkan penulisan yang berunsur fitnah dan hasutan. Blog ini lahir untuk menyatakan suatu kebenaran tanpa menyebelahi mana-mana pihak. Kelahiran blog ini juga adalah untuk mengajak umat manusia untuk berfikir secara positif , berprasangka baik dan berpandangan jauh.  
        Kalaupun kita tidak mampu untuk menyenangkan orang lain, maka jadilah kita sebagai manusia yang tidak menyusahkan orang lain.
        Berbalik kepada persoalan siapa lebih layak sebagai calon BN di P178 Sipitang dan DUN Sindumin,  saya pulangkan kepada anda semua untuk memberikan jawapannya. Sila undi pilihan anda dalam blog ini berdasarkan alasan dan penilaian anda sendiri.


       




     







No comments:

Post a Comment